TATABAHASA
Kata nama
Kata nama adalah golongan kata yang
terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama am, nama khas, ganti nama
dan nama terbitan.
Kata Nama Am
Kata nama am ialah kata yang
digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan,
dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan
sebagainya secara umum seperti dalam contoh di bawah:
orang: ayah, polis, perempuan dll.
haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank
dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau
dll.
Kata nama am boleh dibahagikan
kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu
yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama
sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh
terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan
huruf kecil melainkan pada awal ayat.
Kata Nama Khas
Kata nama khas ialah kata nama yang
secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda
yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah nama
manusia dan nama binatang. Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat,
judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.
Perkataan Nama Khas digunakan bagi
menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh perkataan ditunjukkan
seperti di bawah:
benda: Sri Aman, Volvo, Parker 45,
Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman,
Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang
Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam,
Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf
besar.
Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah kata nama yang
digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata ganti nama
penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya
ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).
Kata ganti diri pula terbahagi
kepada tiga: diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
diri kedua: awak, engkau, kamu,
anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya
Kata Nama Terbitan
Kata nama terbitan wujud apabila
kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang membentuk kata nama terbitan boleh
diletakkan di awal kata ( awalan ), di akhir kata ( akhiran ), di awal dan di
akhir kata ( apitan ) dan diselitkan di tengah perkataan ( sisipan).
Kata kerja
Kata kerja merupakan golongan kata
yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan.
Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja
terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja
tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).
Kata Kerja Transitif
Kata kerja transitif ialah segala
perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena
oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat yang menggunakan kata
kerja transitif mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata kerja ini biasanya
mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada
imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.
Kata Kerja Transitif Aktif
Kata kerja transitif aktif ialah
kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya
berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i,
men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.
Kata Kerja Transitif Pasif
Kata kerja transitif pasif ialah
kata kerja yang disertai oleh objek, dan ayatnya berbentuk pasif. Kata kerja
transitif pasif menggunakan imbuhan di-.
Penyambut Kata Kerja Transitif
Pembuat
Radio itu didengari Atan.
Burung itu ditangkap oleh seekor
kucing.
Sayur itu dijual oleh seorang
perempuan.
Ikan itu dijala oleh Pak Abu.
Surat itu sedang ditulis oleh bapa
Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah
segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat
itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini tidak
memerlukan penyambut. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu kata
kerja tak transitif berpelengkap' dan kata kerja tak transitif tak
berpelengkap.
Kata Kerja Tak Transitif
Berpelengkap
Kata kerja ini memerlukan pelengkap.
Pelengkap merupakan kata atau frasa yang melengkapkan ayat supaya tidak
kelihatan tergantung dan bukannya satu objek (penyambut).
Kami mandi di tasik.
Dia senyum semasa berjalan.
Air sungai beransur surut.
Kata Kerja Tak Transitif Tak
Berpelengkap
Kata kerja ini tidak memerlukan
penyambut mahupun pelengkap. Selalunya berada di hujung ayat.
Rumahnya roboh.
Radio itu berbunyi.
Turunnya Union Jack itu, Jalur
Gemilang pula berkibar
Kata sifat
Adjektif, juga dikenali sebagai kata
sifat, ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali,
sudah lama sungguh, masih lebat lagi.
Kata-kata dalam golongan kata
adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata
adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti
amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar
Jenis jenis kata adjektif
Kata adjektif terbahagi kepada 9
subgolongan:
1. Sifat-menerangkan sifat keadaan
atau seseorang
contoh: baik, cerdik, berani, lemah,
kukuh, kemas, kejap, secantik, terkuat
2. warna - contoh: merah, jingga,
ungu, putih, hitam, kuning langsat
3. ukuran - contoh: pendek, panjang,
tebal, nipis, dalam, besar, sebesar, ternipis
4. bentuk -contoh: bujur, lurus,
5. waktu - contoh: lama, lambat,
lewat, segera, suntuk, lampau, lalu, silam
6. jarak - contoh: dekat, hampir,
jauh
7. cara - contoh: selalu, jarang,
kadang kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas, muram, lincah
8. pancaindera
• rasa: sedap, lazat, manis, pahit,
lemak, pedas, payau, masam,masin
• pandang: buruk, hodoh, jelita,
cantik, tampan
• dengar:bising, sunyi, senyap
• bau: busuk, wangi, hangit, hapak
• sentuh: kesat, kasar, lembab,
halus, licin
9. perasaan - contoh: takut, seram,
benci, rindu, marah, senang, sayang, gembira
Pangkat pangkat adjektif
Pangkat pangkat atau tahap adjektif
ada empat:
Pangkat biasa
Ia dinyatakan dengan menggunakan
kata adjektif biasa. Contoh:
• Baju dia cantik.
• Buah betik itu manis.
Pangkat perbandingan
Ia merupakan perbandingan sama,
lebih atau kurang. Contoh:
• Tenaganya sekuat Badang.
• Buah jambu itu semanis gula.
Pangkat menyangat
Ia menerangkan adjektif yang
keterlaluan seperti sangat, amat, benar-benar dan sebagainya. Contoh:
• Cuaca hari ini sangat mendung.
• Buah rambutan ini terlalu masak.
Pangkat penghabisan
Ia menerangkan adjektif paling atau
penghabisan. Contoh:
• Gunung Kinabalu adalah gunung yang
paling tinggi di Malaysia.
• Menara KLCC bangunan yang
tertinggi di Malaysia.
Kata sendi
Golongan kata sendi adalah golongan
kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa
dalam ayat. Kata sendi menunjukkan perkaitan antara satu perkataan/frasa dengan
perkataan/frasa yang lain.
Contoh:
• Buku di pejabat (kata nama + kata
sendi + kata nama)
• Menyelam sambil minur air (kata
kerja + kata sendi + frasa kerja)
• Rosak kerana banjir melanda (kata
sifat + kata sendi + frasa nama)
Fungsi kata sendi
Ada lima fungsi kata sendi:
1. Menunjukkan tempat atau arah
: melalui jalan dalam,pada fikiran saya
2. Menunjukkan masa : dalam tahun
lepas,sewaktu bulan biru
3. Menunjukan sebab akibat :
Kemalangan berlaku kerana jalan licin, Sebab mulut badan binasa
4. Menunjukkan pelaku : Perlawanan
akhir itu dimenangi oleh Kedah FA
5. Menunjukkan mangsa : Perompak itu
kena belasah
Bahagian kata sendi
Kata sendi boleh dibahagikan kepada
dua bahagian utama:
• Sendi nama
• Sendi kata
Sendi nama
Kata sendi nama ialah perkataan yang
letaknya di hadapan frasa/kata nama. Antara kata sendi nama yang biasa
digunakan ialah:di,ke,kepada,pada,dari,daripada,seperti,dengan
Sendi kata
Kata sendi kata ialah perkataan yang
letaknya di hadapan frasa/kata kerja, kata sifat dan kata tugas.
bagi,sambil ,selepas,sebelum
Bentuk kata sendi
Kata sendi juga boleh dibahagikan
mengikut bentuknya:
Sendi tunggal ; antara,bagai,demi,
hingga,kerana,sejak
Sendi berimbuhan
:bagaikan,berikut,mengingat, merupakan,sehubungan,seputar
Sendi majmuk : atas
sebab,bagaimanapun,dalam hal,daripada di antara,kepada,oleh kerana,selain
,daripada
Ayat inti (bahasa Melayu)
Ayat inti ialah ayat yang paling
ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan
tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda
menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada
satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan
konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk
mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu
pembaca.
Dalam bahasa Melayu, terdapat empat
pola ayat inti:
1. Frasa Nama + Frasa Nama
2. Frasa Nama + Frasa Kerja
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
4. Frasa Nama + Frasa Sendi
Frasa ialah binaan yang boleh
terdiri daripada satu patah kata atau rentetan beberapa patah kata yang
berfungsi sebagai konstituen dalam ayat, sama ada sebagai subjek, predikat,
objek atau keterangan. Frasa tiada subjek dan predikat. Frasa tidak membawa
maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat.
Frasa Nama + Frasa Nama
Contoh:
1. Ali jiran saya.
2. Kami jiran.
3. Kucing mamalia.
4. Itu guru.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang agak meluas berasal
khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Mereka menganggap bahawa
perkataan "seorang", "sebuah", dan sebagainya harus
disisipkan untuk mewakili artikel a dan an dalam bahasa Inggeris. Umpamanya,
ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak ditulis sebagai "Ali
seorang guru". Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang
betul-betul sempurna ialah: "Ali ialah seorang guru." Mereka
menganggap "ialah" sebagai terjemahan kopula seperti is dan are dalam
bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan yang salah bahawa sesuatu ayat itu
tidak sempurna jika tiadanya "ialah" ataupun "adalah".
Walau bagaimanapun, perkataan
"adalah" boleh disisipkan dalam ayat jika seseorang hendak menegaskan
maksud, umpamanya:
1. Ali adalah guru.
2. Kucing adalah mamalia.
Kata "adalah" dalam
ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat dibayangkan dengan
adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:
1. Adakah Ali guru?
2. Adakah kucing mamalia?
Kata "adalah" dalam
ayat-ayat di atas samalah dengan kata "benarkah" atau
"betulkah". Bagaimanapun, ayat yang disertai "adalah" bukan
ayat inti lagi.
Frasa Nama + Frasa Kerja
Contoh:
1. Saya menulis rencana.
2. Kami berdiri.
3. Kucing ini menangkap tikus.
4. Syarikat itu membuka kilang.
Predikat ayat inti untuk pola ini
dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu yang terbahagi dua:
1. kata bantu aspek: akan, belum,
masih, sedang, sudah, telah;
2. kata bantu modaliti: boleh,
dapat.
Letak kata bantu ialah sebelum kata
kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat diperluas dengan menggunakan
keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. "Di kerusi" ialah
keterangan tempat.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kata kerja transitif
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.
Salah : Syarikat itu membuka
di Pulau Pinang
Betul : Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.
Salah : Kami membincangkan tentang
masalah itu.
Betul : Kami membincangkan masalah itu.
Kata kerja intransitif
Satu kesalahan lagi ialah penggunaan
kata kerja intransitif tanpa diikuti oleh kata sendi apabila predikat
diperluas.
Salah : Saya sedar perkara itu .
Betul : Saya sedar akan perkara itu.
Salah :Dia masih ingat kejadian itu.
Betul : Dia masih ingat akan kejadian itu.
Frasa Nama + Frasa Adjektif
Contoh:
1. Dia bijak.
2. Kami lapar.
3. Anjing itu garang.
4. Pisau ini tajam.
Predikat ayat pola ini dapat
dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang terbahagi tiga:
1. penguat depan: begitu
2. penguat belakang: sekali, betul
3. penguat bebas: sangat
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah
penggunaan kata penguat secara berlebihan:
Salah : Dia begitu bijak sekali
Betul : Dia begitu bijak.
Betul : Dia bijak sekali.
Salah : Anjing itu sangat garang
betul.
Betul : Anjing itu sangat garang.
Betul : Anjing itu garang betul.
Frasa Nama + Frasa Sendi
Contoh:
1. Saya ke Kuala Lumpur
2. Dia di sekolah.
3. Kami di rumah.
4. Buku ini untuk adik.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah
anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri sendiri tanpa kata kerja.
Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:
• ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi
ke Kuala Lumpur; atau
• ayat (4) mesti ditulis: Buku ini
dibeli untuk adik.
Sebenarnya baik disertai kata kerja
atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.
Hukum
D-M
Hukuman D-M ialah peraturan menyusun
kata nama majmuk dan ayat yang mendahulukan unsur yang diterangkan
(diringkaskan sebagai D) dan mengemudiankan kata sifat yang menerangkan
(diringkaskan sebagai M). Istilah Hukum D-M diperkenalkan oleh Prof. St. Takdir
Alisjahbana dalam bukunya, Tatabahasa Baru Melayu Indonesia.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku,
khususnya di kalangan orang yang bersikap keinggerisan, disebabkan oleh
kekeliruan antara susunan kata nama majmuk bahasa Melayu dengan kata nama
majmuk bahasa Inggeris. Sebilangan kesalahan yang sering berlaku adalah seperti
berikut:
Kesalahan Padanan bahasa Inggeris
Pembetulan
Salah : dalam lain perkataan
Betul :dengan kata-kata lain
Salah : lain-lain perkara
Betul : perkara-perkara lain
Salah : Minah Restoran
Betul : Restoran Minah
Salah : Dunlop tayar
Betul : tayar Dunlop
Salah : goreng pisang
Betul : pisang goreng
Kata hubung (bahasa Melayu)
Kata hubung ialah perkataan yang
digunakan untuk menggabungkan:
• perkataan dengan perkataan;
• rangkai kata dengan rangkai kata;
dan
• ayat dengan ayat.
Kata hubung terbahagi kepada tiga
iaitu:
1. Kata hubung gabungan
2. Kata hubung pancangan
o Kata hubung pancangan relatif
o Kata hubung pancangan komplemen
o Kata hubung pancangan keterangan
3. Kata hubung pasangan.
1. Kata hubung gabungan
Menggabungkan klausa-klausa yang
sama tarafnya. Contoh kata ialah dan, atau, serta, tetapi, malahan, sambil,
tetapi, sementara, sebaliknya, seterusnya.
Contoh ayat:
• Pemanah itu melepaskan anak panah, tetapi tidak mengena sasaran kerana
busurnya patah.
• Belum tentu... sama ada pergi
rumah kawan atau balik kampung,’’ katanya.
• Dia mengelak, lantas menikam.
2.Kata hubung pancangan
Kata hubung pancangan relatif
Kata hubung ini menghubungkan klausa
utama dengan klausa klausa pancangan (kecil). Hubungan ini menggunakan kata hubung
yang.
Contoh ayat:
• Pelajar yang berjaya itu diberi
hadiah.
• Budak yang sedang membaca itu adik
perempuan saya.
• Buku yang dikarang oleh Ahmad itu
buku sejarah.
Kata hubung pancangan komplemen
Kata hubung ini menghubungkan satu
klausa sebagai komplemen pada satu klausa utama. (Komplemen bermaksud
pelengkap). Jadi, klausa klausa pancangan komplemen itu melengkapkan klausa
utama. Kata hubung yang berperanan begitu ialah bahawa dan untuk.
Contoh ayat:
• Guru tahun enam itu menyatakan
bahawa semua muridnya mendapat enam A.
• Mereka mengetahui bahawa Haji
Ahmad adalah ahli perniagaan besar.
• Kerajaan membuat jambatan untuk
rakyat melintas sungai.
Kata hubung pancangan keterangan
Kata hubung pancangan keterangan
menghubungkan klausa keterangan kepada klausa utama. -Kata hubung itu ialah
kerana, agar, meskipun, sekiranya, semoga, supaya, kalau, andaikata,
kendatipun, hingga, jika, jikalau, semasa, sementara, setelah, sewaktu,
sekiranya, ketika, tatkala, walaupun, dan sesungguhnya.
Contoh ayat:
• Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
• Saya berkawan dengannya semenjak
kecil
3.Kata hubung berpasangan
Kata hubung ini selalunya wujud
dalam berpasangan dan merupakan gabungan kata hubung pancangan dan kata hubung
gabungan. Kata hubung itu ialah baik...mahupun, baik...baik, bukan sahaja...
malah, entah...entah,jangan...pun, kian...kian, sama ada... ataupun,
sedangkan...inikan pula, semakin...semakin, sungguhpun...tetapi, dan
walaupun...namun..
Contoh ayat:
• Kian lama kian banyak orang yang
ke sana.
• Fuad bukan sahaja nakal malah suka
ponteng sekolah
Imbuhan kata nama bahasa Melayu
Kata Nama menerima empat jenis
imbuhan; awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Imbuhan awalan ialah imbuhan yang
berada di hadapan kata akar, contohnya pe(N), me(N), ter dan sebagainya.
Imbuhan akhiran terletak di akhir kata akar dan imbuhan apitan mengapit kata
akar. Imbuhan sisipan pula tersisip di tengah perkataan.
Awalan
ke-
Awalan "ke-" boleh
membentuk kata bilangan himpunan, kata bilangan tingkat dan kata nama. Huruf
akar akan kekal biarpun setelah digabung dengan kata imbuhan ini. Bukan semua
perkataan boleh digabungkan dengan awalan "ke-". Kebanyakannya
memerlukan akhiran -an untuk membentuk perkataan yang tepat. Awalan "ke-"
boleh membawa maksud berikut kepada kata dasar:
• penanda orang atau benda dengan
memberi tumpuan kepada maksud kata dasar (kata nama): kekasih, ketua, kemudi
pe(n)-
Imbuhan awalan "pe(n)-"
menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang
diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
• alatan/perkakas: pembakar,
pengasah, penukul, penapis
• orang yang membuat: penulis,
pencipta, pentadbir
• sesuatu yang menyebabkan jadi...: pengasih, pemanis, pendingin
• orang yang selalu atau suka...:
penidur, pemalas, perokok
• orang yang mempunyai
sifat...:pemalu, pemurah, pembengis
• milik sifat seseorang: pemuda,
pembesar
• ukuran bagi waktu atau tempat:
pemeluk, penanak, pelaung
• hasil atau kesan daripada sesuatu:
penyakit, pendapat
Imbuhan "pe(n)-" berpadan
fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.
pe-
Imbuhan awalan "pe-"
(tanpa pembolehubah (n) dalam "pe(n)-") menerbitkan kata nama memberi
maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya. Berbeza dengan imbuhan
"pe(n)-", imbuhan "pe-" hanya boleh digunakan untuk
manusia, iaitu seperti berikut:
• pelaku tindakan dalam kata dasar:
pesaing, peserta
• penerima tindakan atau kesan dalam
kata dasar: pesalah, pesakit
per-
Imbuhan awalan "per-"
digunakan untuk mengimbuhkan kata dasar yang sering dijadikan kata kerja dengan
berimbuhkan awalan "ber-".
juru-
Awalan "juru-" digunakan
untuk mendukung penanda makna ahli atau orang yang terlibat secara langsung
dengan maksud pekerjaan kata dasar dan boleh bergabung dengan kata dasar
daripada golongan kata nama, kata kerja, dan akar. Contoh-contohnya adalah
seperti berikut:
• juru- + kata nama: juruwang,
jurubahasa
• juru- + kata kerja: jurukira,
jurujual, juruselam, juruterbang
• juru- + akar kata: jurutera,
jurumudi
Akhiran
-an
Imbuhan akhiran "-an"
menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang
diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut.
• benda, bahan yang dilakukan kata
dasar: kiriman, makanan
• hasil perbuatan kata dasar: tulisan,
bungkusan
• tempat yang disifatkan kata dasar:
ruangan
• benda kata dasar yang besar atau
luas: lautan
Apitan
ke-…-an
Imbuhan apitan "ke-…-an"
menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang
diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
• hasil perbuatan kata dasar:
keberanian, kepercayaan
• keadaan yang disifatkan kata
dasar: keindahan, keselesaan
pe(n)-…-an
Imbuhan apitan "pe(n)-…-an"
menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang
diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
• perbuatan: pemeriksaan, pemilihan
• hasil perbuatan: pembangunan,
pelaburan
Imbuhan "pe(n)-…-an"
berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.
per-…-an
Imbuhan apitan "per-…-an"
menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang
diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
• perbuatan: pertandingan,
pergeseran
• tempat: perumahan, perkuburan
Imbuhan "pe(n)-…-an"
berpadan fungsinya dengan imbuhan "ber-" untuk kata kerja.
Sisipan
Sesetengah kata dasar boleh diubah
atau diperkuat maknanya dengan dibubuh imbuhan sisipan "-el-",
"-em-", "-er-" dan "-in-". Contoh: tapak → telapak;
kuning → kemuning.
JENIS-JENIS AYAT
Ayat perintah
Ayat perintah bertugas untuk
menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan, permintaan, ajakan,
silaan, doa, dan harapan.
Perintah
: Berdiri di atas kerusi itu.
Suruhan
: Ikat tali kasut anda dengan betul.
Larangan :
Jangan pergi ke sungai yang dalam airnya.
Permintaan : Tolong
angkat baju itu.
Ajakan
: Mengucaplah banyak-banyak.
Silaan
: Sila jamu selera.
Doa
: Syukurlah kamu sudah kembali.
Harapan
: Harap-harap hari tidak hujan.
Perhatikanlah bahawa ayat-ayat di
atas mempunyai susunan yang sama, iaitu subjeknya tidak dinyatakan. Ini
disebabkan subjeknya nyata dan merujuk kepada orang yang ayat perintah itu
ditujukan.
Contoh-contoh di atas juga
menunjukkan bahawa awalan "ber" dan "meN" kekadang tidak
digugurkan. Aturan yang perlu dipegang ialah:
• Untuk kata kerja intransitif (kata
kerja yang tidak memerlukan objek): awalan tidak boleh digugurkan.
• Untuk kata kerja transitif (kata
kerja yang memerlukan objek): awalan meN hendaklah digugurkan.
Ayat nafi
Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak".
Secara umum, ayat nafi digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu,
umpamanya:
Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
Aurora bukan jururawat, tetapi
doktor.
Disamping itu, ayat nafi boleh juga
digunakan untuk menekankan atau menegaskan sesuatu maksud. Contohnya:
Ayat biasa : Cadangannya harus
diketepikan.
Ayat nafi : Cadangannya tidak perlu kita pedulikan.
Ayat biasa : Kerja ketua memang
susah.
Ayat nafi : Kerja ketua tidak pernah senang.
Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap
pasangan di atas mempunyai maksud yang sama, ayat nafi menekankan maksudnya,
sedangkan ayat biasa menyatakan maksud secara biasa sahaja.
Peranan ayat nafi sebagai penegas
maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya, umpamanya:
1. Bukankah orang itu guru kamu?
2. Tidakkah kamu ingin menyertai
peraduan itu?
3. Anda sudah faham, bukan?
Penggunaan dengan frasa nama
Secara umum, kata nafi
"bukan" digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah frasa nama.
Contohnya:
1. Ini bukan kucing.
2. Malaysia bukan negara republik.
3. Gajah bukan haiwan yang terbesar
di dunia.
Selain itu, "bukan" juga
boleh digunakan untuk frasa yang lain daripada frasa nama dalam hubungan
seperti yang berikut:
1. Dia bukan bodoh, tetapi malas.
2. Dia bukan belajar, tetapi
bermain.
Kata "bukan" dalam
kedua-dua ayat itu boleh juga digantikan dengan "kata tidak":
1. Dia tidak bodoh, tetapi malas.
2. Dia tidak belajar, tetapi
bermain.
Bagaimanapun, penggantian
"bukan" dengan "tidak" menyebabkan sedikit perubahan
maksud. Penggunaan "tidak" hanya menyatakan maksud secara biasa,
sedangkan penggunaan "bukan" menekankan pertentangan dua keadaan
secara jelas.
Penggunaan dengan frasa sendi
Untuk frasa sendi, kata nafi bukan
dan tidak digunakan menurut kesesuaian, umpamanya:
1. Saya tidak ke sekolah hari ini
kerana sakit.
2. Saya bukan dari sektor kerajaan.
3. Malaysia bukan di benua Afrika.
4. Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan
"tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling berganti.
Oleh sebab itu, perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan"
dan "tidak".
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku untuk
ayat nafi ialah kekeliruan antara penggunaan kata "bukan" dan
"tidak".
Ayat tanya
Ayat tanya dalam bahasa Melayu boleh
dibentuk dengan tiga cara:
Cara-cara untuk membentuk ayat tanya
1. Membubuh tanda tanya pada akhir
ayat penyata
Ayat penyata Ayat tanya
Tetamu sudah tiba. Tetamu sudah
tiba?
Buah itu sudah masak. Buah itu sudah
masak?
Mereka hendak menolong kita. Mereka
hendak menolong kita?
Dengan tidak mengubah susunan
ketiga-tiga ayat di atas, ayat-ayat tanya boleh dibentuk dengan tanda tanya di
hujung ayat-ayat penyata. Dalam pertuturan, ayat tanya di atas dinyatakan
dengan suara menaik pada akhir ayat.
2. Menggunakan partikel
"kah"
Ayat-ayat tanya dalam bahagian di
atas juga boleh disungsang melalui penggunaan partikel "kah" untuk
mencipta ayat tanya songsang:
Ayat penyata : Tetamu sudah tiba.
Ayat tanya : Sudah tibakah tetamu?
Ayat penyata : Buah itu sudah masak.
Ayat tanya : Sudah masakkah buah itu?
Penggunaan partikel "kah"
dalam jenis ayat tanya ini adalah penting untuk mengelakkan kesamaran makna.
3. Menggunakan pelbagai kata
Ayat tanya juga boleh dibentuk
dengan menggunakan kata ada, apa, bila, bagaimana, berapa, mengapa, mana, dan
siapa.
Kata Ayat tanya
Tanpa partikel "kah"
Dengan partikel "kah"
Apa : Apa yang kamu beli tadi?
Apakah yang kamu beli tadi?
Bagaimana : Bagaimana cara
untuk mendaftar diri?
Bagaimanakah cara untuk mendaftar diri?
Bila : Bila ayah kamu pulang?
Bilakah ayah kamu pulang?
Kecuali kata "ada", yang
lain dapat berdiri sendiri tanpa partikel "kah". Bagaimanapun,
partikel "kah" sering digunakan untuk maksud penegasan.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah
penggunaan partikel "kah" di hujung ayat. Umpamanya:
• Tetamu sudah tibakah?
• Buah itu sudah masakkah?
• Mereka hendak menolong kitakah?
Kesalahan ini tertimbul kerana
dipengaruhi oleh bahasa sehari-hari seperti berikut:
• Tetamu sudah tibake?
• Buah itu sudah masakke?
• Mereka hendak menolong kitake?
"Ke" sebagai bentuk ucapan
sehari-hari bagi "kah" tidak boleh digunakan dalam tulisan. Selain
itu, "kah" tidak boleh digunakan di hujung ayat.
Ayat songsang
Dalam ayat songsang, predikat
terletak pada awal ayat dan subjek pula terletak pada hujung ayat. Ini
merupakan hal yang terbalik dalam ayat biasa:
AYAT BIASA → SUBJEK + PREDIKAT
AYAT SONGSANG → PREDIKAT + SUBJEK
AYAT PASIF → OBJEK + KATA KERJA +
SUBJEK
Ayat songsang memberikan lagi satu
cara untuk menyatakan sesuatu supaya membantu menghidupkan tulisan anda.
Penggunaan ayat songsang sekali sekala akan menyebabkan bahasa anda akan lebih
indah dan segar. Selain itu, ayat songsang amat berguna jika anda perlu
menekankan predikat, dan bukan subjeknya. Semua jenis ayat dapat disongsangkan.
Susunan
biasa
Susunan songsang
Ayat inti Encik Yosri
birokrat. Birokratlah
Encik Yosri.
Kucing itu ke
sana. Ke
sana kucing itu.
Orang itu adik
kamu?
Adik kamukah orang itu?
Kamu belum
makan?
Belum makankah kamu?
Surat itu akan saya
kirimkan.
Akan saya kirimkan surat itu.
Saya ketinggalan bas pada hari
itu.
Ketinggalan bas saya pada hari itu.
Perhatikanlah bahawa dalam
setengah-tengah ayat seperti di atas, partikel "kan" (untuk ayat
tanya) dan partikel "lah" (untuk ayat berita) perlu digunakan supaya
jelas bentuk ayat songsang itu.
Ayat inti
Ayat inti ialah ayat yang paling
ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan
tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan
"Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh
itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain
itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita,
atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.
Ayat gabungan
Ayat gabungan ialah ayat yang
terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan menjadi satu ayat dengan
menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau, tetapi, lalu, dan
sebagainya untuk mengaitkan pendapat yang berhubungan antara satu dengan yang
lain. Bahasa Melayu mempunyai enam pola ayat gabungan, iaitu:
1. Ayat dengan ayat
2. Subjek dengan subjek
3. Predikat dengan predikat
4. Adverba dengan adverba
5. Objek dengan objek.
6. Ayat gabungan dengan kata penghubung
yang berpasangan.
Ayat pancangan
Ayat pancangan ialah ayat gabungan
yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu klausa (ayat kecil), umpamanya:
• Keluarga Ali berpindah ke Kuala
Lumpur kerana penukaran kerjanya.
• Jika hari hujan, saya tidak akan
keluar dari rumah.
• Angkatan tentera British tertewas
di Singapura walaupun mempunyai lebih askar berbanding dengan tentera Jepun
Analisis Kesalahan Bahasa
Ejaan dan Tanda Baca
Ejaan yang digunakan ialah ejaan
menurut Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972. Ejaan ini juga
digunakan dalam semua kamus-kamus terutamanya Kamus Dewan.
Calon harus memberikan perhatian
terhadap perkara berikut:
a. Sistem keselarasan vokal
b. Ejaan kata terbitan
c. Ejaan kata majmuk
d. Ejaan kata pinjaman
Sistem Keselarasan Vokal
Pengguna bahasa Melayu terutamanya
bangsa asing amat gemar menggunakan sistem keselarasan vokal yang tidak tepat.
Hal ini boleh didefinasikan sebagai pengaruh dialek.
Contohnya: hebuh, sinalai, olih,
keleja
Sepatutnya : heboh, senarai, oleh,
kerja
Ejaan Kata Terbitan
Awalan meN- menjadi men- apabila
diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf d,c,j, sy dan z, serta
perkataan pinjaman yang mengandungi gugus konsonan yang bermula dengan huruf t
dan s.
Contohnya :
deru - menderu
duga - menduga
caci - mencaci
Ejaan Kata Majmuk
Terdapat sebilangan kecil bentuk
kata majmuk yang penggunaannya dianggap sudah mantap dan dieja sebagai satu
perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mempunyai dua kata dasar.
Perkataan yang demikian dieja sebagai satu perkataan. Bentuk tersebut ialah:
tanggungjawab
olahraga
tandatangan
matahari
suruhanjaya
jawatankuasa
sukarela
warganegara
setiausaha
kakitangan
pesuruhjaya
bumiputera
antarabangsa
beritahu
kerjasama
Selain contoh yang ditunjukkan di
atas, ejaan kata majmuk ditulis terpisah.
Contoh:
jalan raya
tunjuk ajar
ambil alih
kuat kuasa
kenal pasti
ibu bapa
campur aduk
daya serap
Ejaan Kata Pinjaman
Kesalahan penggunaan ejaan kata
pinjaman merupakan akibat pengaruh ejaan bahasa sumber bagi kata yang telah
mantap, kekeliruan antara bunyi sebutan dengan sistem visual bagi ejaan dan
ejaan kata khusus yang menggunakan nombor.
Contoh:
klas, plan, klab, gran - kelas,
pelan, kelab, geran
psikoloji, otomatik, kota -
psikologi, automatik, kuota
dekad ke 10, abad ke 20 - dekad
ke-10, abad ke-20
Perbendaharaan Kata
Calon mestilah mempunyai
perbendaharaan kata yang luas supaya senang mengenal pasti kesalahan penggunaan
kosa kata. Di samping itu, pemilihan kata mestilah bersesuaian dengan maksud
sesuatu ujaran.
1. Kata-kata yang mempunyai konotasi
yang tertentu
Setiap perkataan mempunyai makna
konotasi dan denotasi. Misalnya, perkataan “kesan” dan “akibat”. Perkataan
kesan bermaksud “apa-apa yang timbul daripada sesuatu tindakan, keputusan yang
boleh jadi baik atau buruk. Manakala perkataan “akibat” bermaksud kesan yang
buruk akibat perbuatan dan tindakan. Oleh yang demikian calon harus memilih
konteksnya yang sesuai.
Contoh:
(a) Kesan daripada keletihannya
berlatih bola sepak menyebabkannnya terpelecok lalu jatuh.
- Kata akibat lebih sesuai digunakan
kerana mempunyai konotasi yang tidak baik.
(b) Sistem lampu isyarat yang baru
diperkenalkan itu mengakibatkan perjalanan kereta menjadi tidak lancar.
- kata menyebabkan lebih sesuai
untuk menerangkan situasi ini.
Penggunaan Bentuk Jamak
Penggunaan bentuk jamak sering kali
disalahgunakan, bukan sahaja dalam situasi lisan tetapi juga dalam tulisan.
Kadang kala, bilangan sudah dinyatakan tetapi kata nama masih digandakan untuk
menunjukkan maksud jamak.
Salah : Semua peserta-peserta
diminta bersiap sedia.
Betul : Semua peserta diminta bersiap sedia.
Salah : Para-para jemputan diminta
memakai pakaian kebangsaan.
Betul : Para jemputan diminta memakai pakaian kebangsaan.
Salah : Semua pelajar-pelajar
diminta memakai lencana sekolah.
Betul : Semua pelajar sekolah diminta memakai lencana sekolah.
Penggunaan Kata Ganti Nama Diri
Penggunaan kata ganti nama diri yang
sesuai amat penting apabila kita berkomunikasi dengan lawan tutur. Kita kerap
menemui penggunaan kata ganti nama diri yang tidak tepat dengan situasi
penggunaan bahasa.
Salah : Serigala itu mati. Ia
ditembak oleh pemburu.
Betul : Serigala itu mati. Serigala itu ditembak pemburu.
Salah : Apakah yang mereka tulis?
Betul : Apakah yang ditulis oleh mereka?
Salah : Beliaulah pelajar yang
selalu ponteng Kelas Bahasa Melayu.
Betul : Dialah pelajar yang selalu ponteng kelas Bahasa Melayu.